Ahmad Faizal Azumu berkata Bersatu hormati notis mesyuarat dikeluarkan Takiyuddin Hassan pada 18 Jun lalu.
PETALING JAYA: Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu mengesahkan kehadiran wakil parti itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) malam ini yang dikatakan bakal membincangkan kedududukannya dalam gabungan terbabit.
Bercakap kepada FMT, Faizal berkata sebagai ahli PN yang diasaskan oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, mereka akan menghormai notis mesyuarat telah dikeluarkan.
“Kami akan hadir bagi membawa pendirian Bersatu dalam semua perbincangan,” katanya.
Mengikut notis dikeluarkan dikeluarkan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan pada 18 Jun, mesyuarat itu akan diadakan di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur, kira-kira 8.30 malam ini.
Mesyuarat itu diadakan ketika kerjasama PAS dan Bersatu telah tamat serta krisis PN yang antaranya menyaksikan Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin ditamatkan sebagai pengarah pilihan raya gabungan terbabit.
Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali pula diberhentikan sebagai timbalan kepada Takiyuddin.
Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar yang menggantikan Muhyiddin berkata isu keahlian Bersatu dijangka dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi gabungan itu.
Menurutnya, sebarang perkara membabitkan keahlian atau kedudukan mana-mana parti dalam PN perlu melalui proses perbincangan dan keputusan bersama di peringkat kepimpinan.
Selain Bersatu dan PAS, PN turut dianggotai Gerakan serta MIPP.
Isu kedudukan Bersatu dalam PN kembali menjadi perhatian selepas timbul pelbagai spekulasi berhubung hala tuju parti itu selepas Presiden PAS, Hadi Awang pada awal bulan ini mengumumkan hubungan partinya dengan Bersatu sudah berakhir.
Muhyiddin malam tadi sekali lagi menegaskan Bersatu akan kekal dalam PN ‘sampai bila-bila’ selain akan menggunakan logo gabungan itu pada PRN Johor serta Negeri Sembilan akan datang.
PRN Johor bakal diadakan 11 Julai depan manakala pilihan raya di Negeri Sembilan pada 1 Ogos.


