Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said, berkata antara syor utama dipersetujui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ialah nama calon Pendakwa Raya dimaklumkan kepada Parlimen bagi membolehkan penelitian dan pandangan diberikan.
PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengasingkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan memberi Parlimen peranan lebih besar dalam proses pelantikan Pendakwa Raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata antara syor utama yang dipersetujui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ialah nama calon Pendakwa Raya dimaklumkan kepada Parlimen bagi membolehkan penelitian dan pandangan diberikan.
Katanya, pelantikan Pendakwa Raya akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) tanpa penglibatan perdana menteri atau Jemaah Menteri.
Azalina berkata pindaan itu turut menggantikan frasa ‘menurut bicaranya atas syor’ kepada ‘atas nasihat’, selain menetapkan calon Pendakwa Raya hanya boleh dipilih daripada nama yang dikemukakan SPKP bagi memastikan proses pelantikan kekal bebas daripada pengaruh eksekutif.
“Nama-nama daripada SPKP ini tidak akan datang daripada perdana menteri atau menteri Kabinet.
“Yang lebih penting dalam pindaan ini ialah peranan Parlimen,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Selain itu, jawatankuasa berkenaan turut mencadangkan Pendakwa Raya dilantik bagi tempoh tetap tujuh tahun tanpa pelantikan semula dan diwajibkan mengemukakan laporan tahunan kepada Parlimen serta tertakluk kepada kod etika khusus.
Pelanggaran kod etika itu juga boleh dijadikan alasan untuk penyingkiran daripada jawatan.
Azalina berkata cadangan tersebut adalah hasil tujuh mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang turut mendapatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk NGO, ahli akademik, pakar perundangan dan badan profesional.
Beliau berkata kerajaan kini berusaha mendapatkan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen bagi meluluskan pindaan Perlembagaan itu dan berharap semua pihak dapat melihatnya sebagai reformasi penting untuk memperkukuh sistem keadilan negara.
“Kalau kita terlepas pada sesi ini, saya takut apabila kita bercakap tentang reformasi, kita ketinggalan.
“Kita mahu memastikan institusi Pendakwa Raya benar-benar bebas, profesional dan diyakini rakyat,” katanya.


