Presiden AS Donald Trump menghubungi Presiden Fifa Gianni Infantino beberapa jam selepas aksi AS menentang Bosnia dan Herzegovina Rabu lalu dan meminta menyemak semula penggantungan Folarin Balogun.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan campur tangan bagi membantu pemain bola sepak negara itu, Folarin Balogun beraksi menentang Belgium dalam perlawanan Piala Dunia Fifa pada Isnin, lapor Xinhua.
Balogun dilayangkan kad merah pada perlawanan Pusingan 32 AS menentang Bosnia dan Herzegovina pada Rabu kerana memijak kaki kanan Tarik Muharemovic, tindakan yang mengakibatkan penggantungan automatik selama satu perlawanan.
Trump menghubungi Presiden Fifa, Gianni Infantino, beberapa jam selepas perlawanan itu dan meminta menyemak semula penggantungan Balogun, lapor The New York Times yang memetik kenyataan empat individu mengetahui perbualan berkenaan.
Fifa dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan Balogun boleh beraksi dalam perlawanan Pusingan 16 Piala Dunia Fifa 2026 bagi pasukan tuan rumah bersama itu menentang Belgium di Stadium Seattle.
Menurut peruntukan Artikel 27 Kod Tatatertib Fifa (FDC), pelaksanaan penggantungan automatik perlawanan terhadap Balogun ditangguhkan bagi tempoh percubaan selama setahun.
Artikel 27 FDC membenarkan badan kehakiman Fifa menangguhkan pelaksanaan tindakan tatatertib, sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya.
“Terima kasih kepada Fifa kerana melakukan perkara betul dan membetulkan ketidakadilan yang nyata!” tulis Trump di platform media sosial, Truth Social.
Keputusan membatalkan penggantungan itu sangat luar biasa dan kali pertama sejak 1962, apabila Fifa membenarkan seorang pemain beraksi dalam perlawanan, walaupun dia sepatutnya digantung selepas dibuang padang dalam saingan Piala Dunia, menurut laporan The New York Times.

