Anak bekas ahli MKT Umno Puad Zarkashi, Omar Hafidz berkata, beliau dimaklumkan bahawa kehadirannya semasa berkempen buat sesetengah ahli Umno dan seorang calon rasa kurang senang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Anak kepada bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi, Omar Hafidz, meluahkan rasa terkilan apabila dilabel sebagai ‘spy’ ketika berkempen untuk Barisan Nasional (BN) menjelang PRN Johor.
Omar mendedahkan, ketika berkempen untuk calon BN Senggarang, seorang pemimpin bahagian memaklumkan bahawa kehadirannya mengundang rasa kurang senang sesetengah pihak.
“Saya dimaklumkan terdapat pandangan bahawa saya dianggap sebagai ‘spy’ kepada ayah saya, malah, saya turut dimaklumkan terdapat arahan jika terdapat ‘posting’ calon yang ada gambar saya maka ia mesti dikeluarkan.
“Terus terang, perkara itu amat mengecewakan. Bukan kerana jawatan atau kedudukan tetapi kerana saya hadir dengan niat untuk membantu parti yang masih saya anggap sebagai perjuangan saya,” katanya, lapor Sinar Harian.
Puad meninggalkan Umno pada akhir bulan lepas, menyatakan beliau tidak boleh lagi berdiam diri mengenai apa yang disifatkannya sebagai ketiadaan autonomi Umno Johor dalam membuat keputusan.
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki kemudian mendakwa Puad mengugut untuk keluar parti dan mengkritiknya secara terbuka jika anaknya tidak dicalonkan di DUN Rengit pada pilihan raya akan datang.
Petang ini, Omar berkata, walaupun menghormati keputusan bapanya untuk meninggalkan Umno, beliau mempunyai pendirian berbeza dan akan kekal bersama parti tersebut.
Tambahnya, tindakan sesetengah pihak yang mahu ‘menghukum’ ahli setia sepertinya dengan melabel mereka sebagai pengintip akan menyukarkan Umno untuk menarik lebih ramai belia menyertai parti itu.
“Bapa saya pernah berpesan bahawa tugas seorang pendakwah bukan untuk menghukum tetapi mengajak (orang ramai mendekati agama). Saya percaya prinsip sama juga terpakai dalam politik.”
“Ayah saya pernah beri tazkirah ringkas kepada saya mengenai sebuah buku …. intipati yang beliau sampaikan cukup bermakna,” katanya.
“Seorang pendakwah bukan tugasnya menghukum, tetapi mengajak. Saya percaya prinsip yang sama juga wajar diamalkan dalam politik.”
Omar kemudian merayu ahli Umno agar tidak menghukum atau melabel orang lain sebelum memahami keadaan sebenar kerana ini boleh membawa kesan buruk kepada parti.
Beliau bagaimanapun berkata, walaupun dituduh, beliau tidak akan ‘membalas dengan kebencian’.


