Sepanjang kempen PRN Johor ini, satu babak lakonan drama bersiri politik berjudul Kudeta lakonan Maszlee Malik kembali dimainkan lawan politik beliau. Maszlee yang bertanding untuk sebuah kerusi DUN, dan hangat diperkatakan sebagai calon menteri besar Johor kini digelar ‘Apam Malik’ gara-gara watak banduan pernah dilakonkannya dalam produksi itu. Babak tersebut memperlihatkan satu dialog Maszlee yang berbaur lucah menggunakan istilah ‘apam kering’ kepada seorang watak wanita. Ini dianggap dosa oleh pesaing politik beliau lalu dijadikan peluru untuk menyerang bagi membina persepsi terhadap diri beliau. Kerana watak lakonan itu, beliau dianggap ‘tak baik’. Terus terang, saya berasa tidak sedap dengan ejekan itu kerana saya pelik, apakah begini cara kita berhujah politik?
Mula-mula saya hendak bertanya, adakah menjadi satu kesalahan bagi seorang ahli akademik atau politikus berlakon? Katakanlah ia tidak salah, tetapi anda mungkin akan berkata, pilihlah watak yang sesuai, kan? Teruk sangatkah watak tersebut?
Atau apakah peminat politik memang memandang lekeh dunia lakonan sehingga sesiapa yang membawa sesuatu watak di dalam sebuah cerita itu dianggap memang begitu dalam kehidupan sebenar mereka? Apakah pelakon Zaidi Omar yang memegang watak Tapa memang gatal orangnya kerana sangat menagih tubuh Zaleha lakonan Sofea Jane dalam filem ‘Perempuan, Isteri Dan…’ arahan U-Wei Shaari itu? Sofea Jane sebagai Zaleha bagaimana pula di luar filem? Memang begitu perangainya? Oh, tentulah tidak sebab mereka itu pelakon. ‘Apam Malik’ bukan pelakon, dia politikus. Kalau benar anggapan mereka begitu, saya rasa kita perlu berbincang dengan lebih tenang. Kelakarnya pula, Maszlee telah pun membuat permohonan maaf ketika kontroversi itu melanda beberapa tahun lalu.
Pada saya, soal minta maaf dan gelaran Apam Malik itu sepatutnya tak timbul. Ayuh, mari kita masuk kuliah seni lakon sekejap. Lakonan ialah satu cabang seni. Pelakon dibayar untuk menjadi orang lain. Dia boleh menjadi pembunuh, perogol atau banduan. Dia boleh juga menjadi doktor, peguam, petani atau agamawan. Gunakan kebijaksanaan anda, apakah watak-watak ini adalah gambaran sebenar pelakon ini di dunia nyata? Lalu, mengapa naratif ‘Apam Malik’ dijadikan bahan untuk mengutuk Maszlee? Dari watak-watak jahat itulah munculnya elemen perubahan sikap, insaf, sedar dan menjadi orang baik. Itupun jika kita mampu berfikir. Eh, takkan orang-orang politik yang bijak-pandai tak boleh rasional?
Sebab itu saya lebih berminat daripada sudut yang lain. Jika hendak mempersoalkan kredibiliti dan kepimpinan Maszlee, beliau ada kad prestasi yang lebih sesuai dibincangkan atau dikritik. Beliau pernah menjadi menteri pendidikan. Apakah pencapaiannya? Beliau pernah menyertai beberapa parti politik. Apakah sumbangan beliau kepada masyarakat selama ini? Sebagai ahli akademik pula bagaimana? Itulah hujah yang lebih matang untuk diperdebatkan.
Memanglah dari satu segi, saya boleh bersetuju dengan teori bahawa bukan semua watak sesuai dilakonkan oleh semua orang. Lebih-lebih lagi apabila seseorang itu dikenali sebagai tokoh masyarakat. Sudah tentu dia perlu bijak memilih watak yang tidak mengelirukan masyarakat atau menjejaskan kepercayaan terhadap dirinya. Itu soal kebijaksanaan. Mungkin sebab itulah Maszlee sendiri pernah meminta maaf. Tetapi kita ini yang enak menghukum keseluruhan peribadi seseorang hanya kerana satu watak yang pernah dilakonkannya juga bukanlah sesuatu yang adil. Atau kita berasa dalam politik, kutuk-mengutuk memang tidak ada sempadan?
Yang lebih menarik, politik yang kita sangat taasub itu sendiri pun penuh dengan lakonan. Ada yang berlakon menjadi wira. Ada yang berlakon menjadi mangsa konspirasi.
Minggu kempen pilihan raya menyaksikan ada calon yang berlakon begitu mesra dengan rakyat. Yang hari-hari melepak di ‘coffee house’ pun tiba-tiba bersimpuh di serambi rumah orang kampung, cicah biskut tawar dengan kopi sambil mengesat air mata mendengar keluhan rakyat. Ada yang melontarkan dialog berdegar-degar mengikut skrip yang ditulis untuk gula-gulakan para penyokong, walhal selepas pilihan raya semuanya tinggal janji.
Di situ bukan sahaja politikus yang anda kutuk, politikus yang anda puja juga melakukan perkara sama. Lebih jijik lakonannya, lebih geli gelagatnya menunggang nama bangsa dan agama demi meraih kedudukan. Drama di TV kita tahu ia hanya lakonan. Drama mencium bayi, bersalam dengan orang tua dan berpeluk dengan rakyat berbilang kaum itu, wayang kelas berapa?
Kita sendiri pun ketika sedang mengutuk itu pun, sedar atau tidak, pun sedang berlakon. Entah-entah kesetiaan kita kepada pemimpin dan parti kita pun satu lakonan. Kerana ada habuan, kerana ada peluang maka setialah kita. Jika ada peluang lebih baik di tempat lain, entah-entah kita pun cabut.
Itulah sebabnya saya berasakan pilihan raya bukan sahaja menguji ahli politik. Pilihan raya juga menguji apakah kita ini rakyat yang bijak. Kita bukan sahaja memerlukan pemimpin yang baik, tetapi kita juga perlu menjadi pengundi yang pintar memilih. Pengundi yang cerdik tidak akan mudah dipengaruhi oleh potongan video beberapa saat, permainan propaganda dan sentimen ketaasuban.
Yang kita wajib pilih ialah orang yang kita percaya mampu memimpin, mempunyai idea, rekod, integriti dan kebijaksanaan untuk mentadbir. Jika calon itu mempunyai semua ciri tersebut, pilihlah dia. Tetapi jika calon itu memang kuat berlakon, tidak ‘real’ atau kata orang Johor, ‘yo yo orr’, usah pilih.
Sebagai penutup, saya ingin menegaskan bahawa saya menulis ini kerana ingin menyampaikan rasa kecewa dengan cara pentaasub politik berhujah dan juga cara mereka memandang bidang yang saya minati iaitu lakonan seolah-olah ia sebuah bidang yang lekeh dan rendah martabatnya. Tentang Maszlee sendiri, itu hal beliau. Beliau jenis tahan maki barangkali. Tak macam saya, orang kutuk bidang seni lakon, saya panas hati!
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

