Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik berkata kempennya di DUN Puteri Wangsa menunjukkan ketakutan dan salah tanggapan terus mempengaruhi sesetengah pengundi.
JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH), Maszlee Malik, berkata dialog terbuka akan memberi peluang pengundi mendengar pelbagai pandangan, menjelaskan salah tanggapan dan membuat keputusan siapa paling layak mewakili mereka pada PRN Johor Sabtu ini.
Calon PH untuk DUN Puteri Wangsa itu berkata, kempennya menunjukkan ketakutan dan salah tanggapan terus mempengaruhi sesetengah pengundi.
Bekas menteri pendidikan itu mengimbas pertemuannya dengan isteri seorang bekas tentera yang mahu mengundi PH, tetapi bimbang anak perempuannya yang juga kerani sekolah akan dipindahkan, jika dia menyokong gabungan berkenaan.
“Saya beritahu dia, tiada siapa tahu anda undi siapa. Ada ketakutan (dalam kalangan pengundi),” katanya kepada FMT sambil menambah beliau memaklumkan wanita itu bahawa PH sebahagian daripada kerajaan persekutuan.
Dalam satu lagi pertemuan, Maszlee berkata, penjaja menyalahkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim atas yuran lesen yang dikenakan kerajaan Johor.
“Mereka tanya kenapa perlu bayar selepas Anwar menjadi perdana menteri. Saya beritahu mereka bayar kepada kerajaan negeri, bukan Anwar.”
Katanya, keadaan itu menunjukkan ramai pengundi masih tidak dapat membezakan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri.
“Setiap kali sesuatu buruk berlaku, mereka kata ia salah Anwar. Tetapi, apabila terima sesuatu yang baik, termasuk subsidi minyak, mereka kata ia daripada kerajaan negeri.”
Beliau berkata, inilah sebab dialog terbuka diperlukan untuk menangani salah tanggapan secara langsung.
Semalam, Ketua Barisan Nasional (BN) Johor, Onn Hafiz Ghazi, berkata beliau tidak perlu berdialog dengan Maszlee kerana lawannya bukan bekas menteri pendidikan itu pada PRN Sabtu ini, sebaliknya Maszlee perlu fokus kepada calon bertanding di kerusi Puteri Wangsa.
Maszlee antara lima calon bertanding di kerusi Puteri Wangsa pada Sabtu ini. Calon lain ialah Rashifa Aljuneid (Muda), Teow Chia Ling (BN), Nicholas Paul Vincent (Bersama) dan calon bebas, Wang Wee Siong.
Menjawab seruan Onn Hafiz supaya pengundi menolak apa yang disifatkannya sebagai cubaan pembangkang memenangi sokongan melalui fitnah, provokasi dan janji tidak realistik, Maszlee berkata, dakwaan sedemikian perlu diteliti dalam debat terbuka.
“Ini sebabnya kita perlu beliau berada di pentas sama untuk bincang apakah fitnah ini dan janji tidak realistik itu. Mari kita bincang dan biarkan rakyat menilai.”

