Polis kata faktor kepercayaan yang mendalam serta akses berterusan yang diberikan kepada pelaku sering jadi punca utama eksploitasi berlaku tanpa disedari. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR: Landskap ancaman terhadap kanak-kanak semakin membimbangkan, apabila ia berubah secara drastik dengan lebih 80% kes jenayah seksual yang dikesan, melibatkan suspek yang dikenali atau orang dipercayai mangsa.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan, berkata ancaman utama, kini bukan lagi datang daripada individu tidak dikenali sebaliknya dalam lingkungan terdekat mangsa seperti ahli keluarga, guru, pengasuh dan individu yang diberi kepercayaan lain.
Sehubungan itu, masyarakat perlu mengubah persepsi tradisional yang sering mengaitkan bahaya dengan orang asing, kepada ancaman kesedaran tentang risiko yang berpunca daripada individu yang diamanahkan dan mempunyai hubungan rapat dengan kanak-kanak.
“Faktor kepercayaan yang mendalam serta akses berterusan yang diberikan kepada pelaku, sering menjadi punca utama eksploitasi ini berlaku tanpa disedari,” katanya.
Siti Kamsiah Hassan.
Siti Kamsiah mendedahkan pada tahun ini, pihaknya menyiasat satu kes melibatkan seorang guru, dipercayai melakukan amang seksual terhadap beberapa murid sekolah rendah, dan trend itu dikesan berlaku di beberapa negeri.
Hal itu sekali gus mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh langkah pencegahan dan meningkatkan kewaspadaan dalam kalangan ibu bapa, penjaga serta institusi pendidikan terhadap ancaman yang datang daripada individu yang berada dalam lingkungan kepercayaan kanak-kanak.
“Pengantunan oleh golongan itu, selalunya berlaku dalam tempoh lama dan melibatkan lebih daripada seorang mangsa, berikutan akses mudah pemangsa terhadap kanak-kanak.
“Siasatan melibatkan kes seperti ini, selalunya melibatkan lebih dari seorang mangsa dalam satu kes, ada kes yang disiasat mendapati pemangsa menyimpan pelbagai jenis barangan dan hadiah untuk diberikan sebagai usaha untuk mendekati mangsa,” katanya.
Lebih merumitkan, Siti Kamsiah berkata terdapat ibu bapa yang menarik semula laporan polis atas alasan mahu melindungi masa depan mangsa, sedangkan tindakan itu menyebabkan pemangsa berasa ‘kebal’ dan terus mencari mangsa lain.
Selain ancaman fizikal, beliau mendedahkan peningkatan ketara jenayah seksual di ruang digital menerusi platform popular seperti TikTok, Instagram, Telegram dan aplikasi permainan dalam talian.
Beliau berkongsi kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang dipujuk menerusi media sosial sehingga menyerahkan puluhan gambar serta video lucah kepada suspek maya, sebelum bahan itu dijadikan senjata untuk memeras ugut mangsa.
Ekoran ancaman dwisumber itu, Siti Kamsiah menggesa ibu bapa menguasai langkah ‘bantuan kecemasan’ digital bagi mengelakkan bukti penting musnah sebelum laporan rasmi dibuat.
“Langkah segera yang wajib diambil ialah bertenang dan tidak memadam kandungan, membuat tangkap layar mesej atau profil suspek, serta mencatat nombor telefon atau pautan akaun terlibat serta tidak berunding dengan pelaku, sebaliknya memutuskan terus komunikasi tanpa memadamkan jejak digital,” katanya.
Ibu bapa diingatkan supaya tidak memformat atau melakukan tetapan semula pada telefon pintar mangsa, selain segera tampil membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan pengesanan dilakukan dengan pantas.
Beliau memberi jaminan D11 mengamalkan pendekatan berpusatkan kepada mangsa, yang melindungi kerahsiaan identiti mangsa secara ketat selain menyediakan khidmat sokongan emosi.
Siti Kamsiah berkata proses rakaman keterangan bagi kanak-kanak akan menggunakan kemudahan khas Pusat Temu Bual Kanak-Kanak (CIC) dan Temu Bual Rakaman Video (VRI), bagi mengurangkan impak trauma terhadap mangsa.
“Perlindungan kanak-kanak menuntut penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat dan mangsa atau keluarga digesa untuk tidak takut tampil membuat laporan segera demi mencegah penularan kes eksploitasi berkenaan,” katanya.

