Pelepasan asap berwarna oren disyaki buangan terjadual dikesan di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang semalam.
PETALING JAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menahan pemilik dan penyelia sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang susulan insiden pelepasan asap berwarna oren disyaki buangan terjadual yang dikesan semalam.
Pengarah JAS Johor Mohd Famey Yusoff berkata, individu berusia 34 dan 41 tahun itu ditahan sekitar 8 malam tadi oleh Pasukan Tangkapan JAS negeri dengan bantuan JAS Cawangan Pasir Gudang.
Siasatan awal mendapati premis gagal mematuhi prosedur pengurusan buangan terjadual serta syarat lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 16 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Siasatan rapi di lokasi kejadian mengesahkan berlakunya pelanggaran serius undang-undang alam sekitar,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Dalam pada itu, Mohd Famey berkata, pemantauan kualiti udara turut dijalankan di kawasan sensitif berhampiran termasuk SMK Taman Pasir Putih dan SMK Pasir Gudang 3, namun tiada parameter gas berbahaya dikesan setakat hari ini.
Mohd Famey berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pengusaha industri yang mengabaikan aspek pengurusan buangan terjadual sehingga menggugat keselamatan awam dan alam sekitar.
Sebuah tangki industri berkapasiti 200 liter yang mengandungi bahan kimia jenis ‘Spent Inorganic Acid’ (SW206) di sebuah kilang di Jalan Keluli, Pasir Gudang dilaporkan bocor pagi semalam.
Bagaimanapun, menurut Komander Operasi Kanan Firdaus Ahmad, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.


