Ketua Polis Negara Khalid Ismail, berkata penipuan pelaburan tidak wujud mencatatkan nilai kerugian tertinggi iaitu RM1.47 bilion pada 2025.
PETALING JAYA: Kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian melambung kepada RM2.97 bilion tahun lalu, berbanding RM1.57 bilion pada 2024, kata Ketua Polis Negara Khalid Ismail.
Katanya, phone scam kekal sebagai ancaman utama dengan jumlah keseluruhan penipuan dalam talian melibatkan 66,204 pada 2025, meningkat 87%, berbanding 35,368 kes pada 2024.
“Daripada jumlah itu, phone scam kekal sebagai ancaman utama dengan 28,388 kes (pada 2025), manakala penipuan pelaburan tidak wujud mencatatkan nilai kerugian tertinggi iaitu RM1.47 bilion bagi tempoh sama.
“Angka-angka ini bukan sekadar statistik di atas kertas, tetapi ia adalah cerminan kepada ribuan mangsa yang terjejas punca pendapatan dan masa depan mereka akibat kelicikan sindiket penipuan,” katanya menurut Kosmo.
Khalid Ismail.
Beliau berkata, sindiket sentiasa memperbaharui taktik dan kaedah operasi dengan mengeksploitasi kemajuan teknologi serta kecanggihan platform komunikasi moden.
Khalid turut menyeru seluruh masyarakat agar sentiasa mengamalkan sikap waspada dalam setiap urusan kewangan, khususnya transaksi dalam talian.
“Jangan mudah terpedaya dengan panggilan, mesej atau tawaran yang meragukan. Prinsipnya mudah, semak, dan sahkan setiap maklumat melalui saluran rasmi sebelum mengambil tindakan.
“Kepekaan adalah benteng pertahanan pertama bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.”
