Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata beberapa saksi berkaitan sudah dipanggil untuk dirakam keterangan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut membantu dalam siasatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan terhadap dakwaan mengaitkan Rosmah Mansor dengan pembelian atau pembiayaan sebuah hartanah mewah di New Jersey, Amerika Syarikat (AS) yang dikatakan bernilai USD13 juta.
Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, berkata pihaknya setakat ini menerima tiga laporan polis berkaitan isu berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.
Menurutnya, beberapa saksi berkaitan sudah dipanggil untuk dirakam keterangan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut membantu dalam siasatan.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
“Hasil siasatan awal mendapati akaun media sosial yang menularkan dakwaan itu dipercayai akaun palsu.
“Polis menerima tiga laporan berkaitan perkara ini dan siasatan masih diteruskan. Saksi berkaitan juga sudah dipanggil, manakala SKMM memberikan kerjasama dalam siasatan,” katanya pada sidang media, menurut Berita Harian.
Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan dakwaan tanpa bukti kukuh kerana ia boleh menjejaskan proses siasatan serta menyukarkan pendakwaan di mahkamah.
“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi terhadap sesuatu perkara tanpa bukti yang kuat kerana ia boleh menyukarkan pembuktian kes di mahkamah,” katanya.
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu dilaporkan membuat laporan polis berhubung dakwaannya membeli dan memindahkan milik sebuah rumah agam di AS.
Satu video tular mendakwa, rumah agam itu dibeli pada Julai 2025 oleh menantu Rosmah, Daniyar Kessikbayev, sebelum dipindahkan milik pada bulan lalu kepada sebuah syarikat didakwa mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan, Daing A Malek Daing Rahaman.
Rosmah berkata, video tersebut mengandungi dakwaan palsu dan berunsur fitnah bertujuan memperdayakan orang ramai serta membawa kemudaratan besar dan tidak boleh diperbaiki terhadap reputasinya termasuk keluarga.
Daing juga telah membuat laporan polis berhubung video berkenaan.


