Jajaran ECRL sepanjang 665 km akan merentasi Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Kadar tambang bagi perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih belum diumumkan secara rasmi dan maklumat yang sedang tular di media sosial hanyalah spekulasi.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menegaskan kadar tambang sebenar masih diperhalusi bersama pihak berkepentingan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) bagi memastikan ia berpatutan, kompetitif dan mesra pengguna.
Syarikat itu berkata penetapan kadar tambang turut mengambil kira matlamat menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berkualiti kepada rakyat apabila ECRL mula beroperasi kelak.
“Sebarang kadar tambang yang sedang tular di media sosial hanyalah spekulasi dan tidak mewakili kadar sebenar yang akan dikenakan apabila perkhidmatan ECRL mula beroperasi pada Januari 2027,” katanya dalam kenyataan.
Ia turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak disahkan.
Hantaran tular di media sosial sejak semalam berhubung anggaran harga tambang laluan ECRL dari Gombak Ke Kota Bharu.
Sejak semalam tular hantaran berhubung anggaran harga tambang laluan ECRL dari Gombak Ke Kota Bharu.
Dalam pada itu, MRL turut menghargai keterujaan orang ramai terhadap projek rel terbabit dan meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi menerusi saluran komunikasi ECRL, MRL dan Kementerian Pengangkutan.
“Kadar tambang yang ditetapkan nanti akan mengambil kira kepentingan rakyat serta memberikan nilai terbaik kepada pengguna,” katanya.
Jajaran ECRL sepanjang 665 km akan merentasi Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung.
Apabila beroperasi kelak, ECRL dijangka memendekkan masa perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak kepada kira-kira empat jam berbanding sekitar tujuh jam menggunakan jalan raya.


