Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee (kiri) berkata Hamzah Zainudin (kanan) dapat kepercayaan majoriti jelas Ahli Parlimen PAS secara secara en-bloc dan Bersatu secara majoriti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, mempunyai kata putus untuk menentukan siapa yang mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen pembangkang sekali gus diiktiraf sebagai ketua pembangkang, kata Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee.
Kiandee, yang merupakan timbalan speaker Dewan Rakyat dari 2008 hingga 2018, berkata berdasarkan Peraturan Mesyuarat 4A(4), speaker mempunyai kuasa untuk mengesahkan dan menentukan secara muktamad dan konklusif mengenai perkara itu.
Katanya, berdasarkan sistem sistem Westminster dan konvensyen Negara-Negara Commonwealth, pelantikan jawatan itu bersandarkan kepada jumlah sokongan Ahli Parlimen secara majoriti yang tidak terikat oleh keputusan dalaman sesebuah parti politik semata-mata.
“Speaker mempunyai kuasa untuk mengesahkan dan menentukan siapakah Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen Pembangkang,” katanya dalam satu hentaran di Facebook.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar, menggantikan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang bulan lalu selepas Hamzah dipecat daripada Bersatu susulan krisis kepimpinan dengan Presiden parti, Muhyiddin Yassin.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, minggu lalu berkata Hamzah akan kembali sebagai ketua pembangkang, hanya dua bulan selepas melepaskan jawatan itu.
Berucap pada konvensyen Reset di Tanah Merah, Hadi berkata PAS telah mendapatkan pandangan Ahli Parlimen parti itu serta Ahli Parlimen yang menyokong Hamzah, termasuk 13 yang masih bersama Bersatu.
Kiandee berkata sokongan secara en-bloc daripada Ahli Parlimen dari PAS bukan sekadar pendirian politik, malah ia adalah tindakan memperkukuh struktur semak dan imbang parlimen berpaksikan amalan demokrasi.
Beliau berkata Peraturan 4A (3) jelas menetapkan bahawa seseorang itu menjadi ketua pembangkang kerana beliau memimpin ‘Kumpulan Pihak Pembangkang’ (keseluruhan blok), bukannya atas dasar hierarki mahupun keahlian dalam sebuah parti politik.
“Memandangkan Hamzah terus mendapat kepercayaan majoriti jelas Ahli Parlimen PAS secara secara en-bloc dan Bersatu secara majoriti kedudukan beliau adalah utuh dan tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana ketetapan dalaman parti,” katanya.


