Annuar Musa ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN sempena PRN Johor yang turut dihadiri wakil Bersatu Ahmad Faizal Azumu.
KUALA LUMPUR: Rundingan agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Johor belum dimuktamadkan sepenuhnya susulan masih ada DUN bertindih antara parti komponennya.
Ketua Penerangan PN Annuar Musa berkata proses rundingan membabitkan PAS, Bersatu, MIPP dan Gerakan masih berjalan, dengan lebih separuh daripada 56 kerusi sudah diselesaikan setakat ini.
Beliau berkata Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN diwakili dua wakil daripada setiap parti dan dipengerusikan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor.
“Ada beberapa kerusi yang tidak bertindih, itu sudah selesai. Yang bertindih pula kita setuju sambung esok untuk diselesaikan.
“Kebanyakan kerusi sudah selesai, lebih separuh,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN sempena PRN Johor di Pejabat Agung PAS.
Selain Sanusi dan Annuar, pemimpin terbabit dalam rundingan itu antaranya Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu dan Pemangku Ketua Wanita Bersatu Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Turut hadir Presiden Gerakan Dominic Lau dan Presiden MIPP, P Punithan.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, PN akan bertanding menggunakan lambang gabungan itu pada PRN Johor, sekali gus menolak spekulasi kononnya lambang Barisan Nasional (BN).
“Ya, PN akan bertanding. Sebab itu kita buat rundingan kerusi, sebab nak masuk bertanding.
“Kalau tak masuk bertanding, duduk rumah sahajalah,” katanya yang memaklumkan Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan Pejuang tidak terlibat dalam rundingan kerusi hari ini.
Annuar berkata, PN dijangka mengumumkan calon pada Khamis ini sekiranya rundingan agihan kerusi dapat dimuktamadkan.
“Kita umumkan nanti bila semua dah selesai,” katanya.


