Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata setakat ini jumlah keseluruhan permohonan pendaftaran Tahun 1 bagi sesi 2027 seramai 478,419 orang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh mendedahkan pendaftaran murid enam tahun bagi sesi Tahun 1 2027 hanya mencatat 73,386 permohonan, berbanding unjuran asal 400,000 orang.
Beliau berkata, kementerian terpaksa mengecilkan strategi pengambilan guru dengan hanya menyasarkan 3,150 guru secara kontrak perkhidmatan (COS) tahun depan, berbanding unjuran asal keperluan sehingga 20,000 orang guru.
“Mengambil kira status semasa pendaftaran kohort enam tahun yang rendah ini, KPM menyelaraskan keperluan semasa dengan membuat pengambilan 3,150 guru COS bagi menampung keperluan segera di sekolah rendah.
“Pengambilan khas ini bagaimanapun tidak akan menggantikan laluan profesional keguruan yang tetap menjadi pelan utama perancangan guru KPM,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai persiapan kementerian dalam menerima kemasukan murid enam tahun ke darjah 1 pada 2027 serta kaedah diguna pakai bagi memastikan guru tidak terbeban dengan kemasukan tambahan itu.
Mengulas lanjut, Wong berkata setakat ini jumlah keseluruhan permohonan pendaftaran Tahun 1 bagi sesi 2027 adalah seramai 478,419 orang, merangkumi gabungan 73,386 murid kohort enam tahun dan 405,033 murid kohort tujuh tahun.
“Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan enrolmen sebanyak 12.07% berbanding pengajian Tahun 1 bagi sesi 2026,” katanya.
Dalam pada itu, Wong berkata kementerian sedang giat menyiapkan 2,596 bilik darjah baharu menggunakan kaedah sistem binaan berindustri (IBS) modular melibatkan 838 buah sekolah di seluruh negara.
“Projek-projek prasarana fizikal ini dijanjikan siap pada tahun ini juga bagi memastikan kesiapsiagaan infrastruktur sekolah,” katanya, sambil menambah KPM turut mengoptimumkan ruang sedia ada dan sedia melaksanakan operasi dua sesi mengikut kapasiti kawasan.
Wong berkata, KPM ketika ini dalam proses menguruskan 4,417 calon simpanan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi ambilan Julai dan Disember 2025, di mana 2,633 orang daripadanya akan menerima surat tawaran pelantikan dalam masa terdekat.
Ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 pada 20 Jan lalus, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, manakala Tahun 1 akan bermula pada usia enam tahun mulai tahun depan.
Kemasukan awal ini adalah secara sukarela dan akan memerlukan saringan diagnostik bagi menentukan kesediaan murid untuk persekolahan formal.

