P Punithan bersama lima calon MIPP yang mewakili PN pada PRN Johor. (Gambar MIPP)
PETALING JAYA: Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) akan membuat penampilan sulung dalam pilihan raya dengan bertanding di lima kerusi pada PRN Johor atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Lima calon MIPP ialah Lina Manoh Manogaran (Bukit Permai), Jeevakumar Dhayalan (Paloh), Anna Pravina Segaran (Kota Iskandar), Ariventharan Anandan (Pemanis) dan Vela Tebakumaran (Permas).
Presiden MIPP P Punithan menyifatkan detik itu sebagai ‘sangat bersejarah’, bukan sahaja untuk parti itu tetapi juga bagi masyarakat India dan rakyat Johor.
Beliau berkata, lima calon itu dipilih bukan berdasarkan populariti semata-mata, tetapi kerana integriti, pendidikan, kemampuan dan kesediaan mereka untuk berkhidmat kepada rakyat.
MIPP menjadi komponen terbaharu PN mengumumkan calon bagi PRN Johor selepas Bersatu menamakan 16 calon dan PAS mengumumkan 11 calon.
Sekutu PN, Pejuang, turut menamakan calon tunggalnya, Suraya Sulaiman, bagi kerusi Gambir.
PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai, dengan penamaan calon pada Sabtu dan pengundian awal 7 Julai.


