Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, beri amaran tindakan akan diambil terhadap pihak yang cuba sembunyi atau lindungi perbuatan buli. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Johor yang disyaki terlibat dalam kes buli berdepan penyingkiran sekiranya didapati bersalah.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) Mara dan pentadbiran MRSM mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM).
“Mesyuarat JDM perlu diadakan dengan kadar segera dalam tempoh 24 jam bagi menjalankan siasatan serta mengambil tindakan paling tegas terhadap pelajar yang didapati terlibat. Jika terbukti bersalah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM,” katanya di Facebook.
Beliau berkata kes itu diketahui selepas ibu bapa mangsa membuat hantaran di media sosial apabila anak mereka memohon untuk keluar daripada MRSM kerana tidak lagi mampu menanggung penderitaan akibat dibuli.
Katanya, insiden yang disyaki melibatkan enam pelajar Tingkatan 5 itu kini dalam siasatan pihak berkuasa selepas ibu bapa mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa, dan keenam-enam pelajar terbabit ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan.
“Walau apa juga alasan yang diberikan, perbuatan membuli atau mengambil tindakan sendiri atas alasan mahu ‘mendisiplinkan’ pelajar junior sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.
Asyraf menyeru kepada semua pelajar MRSM agar tidak takut untuk melaporkan sebarang kejadian buli kepada guru, warden atau pihak pentadbiran dengan segera, serta tidak memilih untuk keluar dari sekolah kerana menjadi mangsa.
“Saya juga ingin memberi amaran bahawa sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba menyembunyikan atau melindungi perbuatan buli ini, Mara tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.
Enam pelajar lelaki berusia 17 tahun ditahan polis awal pagi tadi bagi membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar lelaki 14 tahun di sebuah sekolah di Muar, Mei lepas.


