Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan LRT3 laluan Shah Alam di Depoh LRT Johan Setia, 28 Jun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah Perdana Menteri Anwar Ibrahim wajar diberi penghargaan kerana meneruskan projek LRT3 laluan Shah Alam dengan mengembalikan semula lima stesen sebelum ini dibatalkan.
Sultan Sharafuddin turut merakamkan penghargaan kepada bekas perdana menteri Najib Razak kerana menerima cadangan baginda pada 2015 untuk membina sistem rel yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
Dalam perutusan sempena pembukaan LRT3 Shah Alam, Sultan Sharafuddin bertitah projek itu pernah tergendala lebih 18 bulan selepas pertukaran kerajaan pada 2018, selain berdepan kelewatan 19 bulan lagi akibat pandemik Covid-19.
Titahnya, Lim Guan Eng daripada DAP yang menjadi menteri kewangan ketika itu bersama penasihatnya Tony Pua telah mengecilkan kos pelaburan untuk projek ini atas alasan kononnya ia projek ‘mega’.
“Sedangkan mereka tidak memahami tujuan pembinaan projek LRT3 ini demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.
“Beta ingin tegaskan bahawa ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ianya projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Beta,” titahnya.
Sultan Sharafuddin bertitah Kementerian Kewangan di bawah Lim dan Tony juga telah mengecilkan saiz setiap stesen dan mengurangkan jumlah gerabak keretapi dikurangkann selain membatalkan lima stesen.
Namun baginda bersyukur apabila Anwar sebaik mengambil alih jawatan perdana menteri dan menteri kewangan bersetuju untuk meneruskan projek itu dengan mengembalikan semula lima buah stesen yang telah dibatalkan.
“Selain itu turut membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi menambah kemudahan kepada rakyat Beta.
“Beliau juga telah mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini. Terima kasih dan syabas beta ucapkan kepada Anwar,” titahnya.
Dalam pada itu, mengimbau saat mencadangkan projek itu kepada Najib, Sultan Sharafuddin bertitah baginda menyampaikan keluhan dan rintihan dalam banyak surat diterima daripada suri rumah mengenai suami mereka yang kerap sampai lewat ke rumah selepas waktu kerja.
“(Ini) kerana terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan khususnya.
“Ketika itu, Klang hanya mempunyai dua jambatan yang melintasi Sungai Klang menjadikan masalah kesesakan di waktu puncak bertambah buruk.
“Sebagai langkah penyuraian trafik segera, pentadbiran Najib memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada 2018,” titahnya.


