Isnin lalu Proton X50 dinaiki dua lelaki Malaysia terkena letupan bom buatan sendiri dipercayai ditanam di tepi jalan berhampiran Persimpangan Sapom, Mukim Phrai Wan, Tak Bai. (Gambar Polis Thailand)
KOTA BHARU: Rakyat Kelantan yang merancang untuk melancong atau berkunjung ke selatan Thailand diminta sentiasa peka terhadap risiko keselamatan susulan insiden letupan bom yang mencederakan dua rakyat Malaysia di Tak Bai, Narathiwat, Isnin lalu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan, berkata peringatan itu penting memandangkan ramai rakyat negeri ini mempunyai hubungan kekeluargaan, urusan perniagaan dan kerap berulang-alik ke wilayah berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak menghalang rakyat Kelantan mengunjungi negara jiran itu, namun mereka perlu sentiasa berhati-hati dan mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi keselamatan sebelum memulakan perjalanan.
“Kita tidak bermaksud melarang rakyat kita pergi ke Thailand kerana ramai juga rakyat kita mempunyai hubungan persaudaraan dengan rakyat di Thailand.
“Cuma, jika hendak melancong atau berkunjung ke sana, kita (perlu) mengambil sikap supaya sentiasa berhati-hati dan peka terhadap aspek keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim, hari ini.
Dalam kejadian pada 11.41 pagi waktu tempatan pada Isnin, sebuah kenderaan Proton X50 dinaiki dua lelaki rakyat Malaysia terkena letupan bom buatan sendiri dipercayai ditanam di tepi jalan berhampiran Persimpangan Sapom, Mukim Phrai Wan, daerah Tak Bai, Wilayah Narathiwat.
Kedua-dua mangsa berusia 38 dan 45 tahun mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Narathiwat untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.
